( SEKADAR GAMBAR HIASAN SAHAJA)…..

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad saw.

Khutbah ini disampaikan pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.

Wahai Manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh karena itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sebagaimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap muslim sebagai amanah suci. Kembalikanlah harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti siapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh karena itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Waspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara yang besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara yang kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak kamu atas mereka, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dengan kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik. Berlemah lembutlah terhadap mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah teman sekaligus pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka adalah bahwa mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah sungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah sholat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikan zakat dari harta kekayaan kamu, kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah, bahwa setiap muslim adalah saudara bagi muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, dan tidak seorang pun yang lebih mulia daripada yang lain kecuali dalam taqwa dan amal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk

mempertanggung-jawabkan segala sesuatu yang telah kamu kerjakan. Oleh kerana itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak akan ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh karena itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, niscaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga orang yang terakhir lebih memahami kata-kataku daripada mereka yang langsung mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMu.