Apabila seseorang itu jaga dari tidurnya di waktu malam dan membangkitkan
isterinya lalu kedua-duanya sama-sama menunaikan dua rakaat sembahyang
nescaya mereka ditulis dalam golongan manusia yang banyak menyintai dan
menyebuti ALLAH.” -Diriwayatkan oleh Ibn Hibban dari Abi Sa’id.
Tujuannya:-Malam dengan ketenangan dan kejernihan suasananya merupakan sebaik-baik
waktu untuk beribadat, kerana itu para mukmin digalakkan mengambil
kesempatan-kesempatan keemasan itu untuk mengukuhkan hubungan dan
kecintaannya kepada ALLAH. Alangkah qudusnya iman seseorang apabila di saat manusia yang lain sedang tidur nyenyak ia bangkit mendirikan sembahyang dan membangunkan isterinya sembahyang bersama-sama untuk mempersembahkan pujian, harapan, permohonan dan permintaan ampun kepada ALLAH ketika dunia diselubungi sepi dan gelita. Alangkah indahnya pandangan dua manusia suami isteri sama berdiri lurus menghadap qiblat dan sama meletakkan dahi mereka ke lantai di tengah-tengah kekelaman malam untuk membuktikan ‘ ubudiah mereka yang tulus kepada ALLAH, memohon keberkatan hidup dunia dan kebahagiaan hidup di negeri Akhirat.
Di dalam al-Quran dan Hadis terdapat pelbagai sanjungan dan galakan supaya
manusia mengejar fadhilat sembahyang malam, firman ALLAH Ta’ala:
” Dan di waktu malam bangkitlah sembahyang tahajjud sebagai sembahyang
tambahan bagi ibadatmu semoga ALLAH membangkitkanmu di hari Akhirat dengan
kedudukan dan darjat yang terpuji.” – Al – Isra’ (79).
Di dalam surah az-Zariat ayat (18) ALLAH memberi sanjungan yang tinggi
kepada amlan-amalan orang-orang yang bertaqwa yang mendapat balasan syurga, di antara amalan itu ialah mereka yang banyak melakukan ibadat sembahyang di waktu malam dan memohon keampunan di saat-saat dinihari.
Waktu sembahyang itu luas, ia boleh dikerjakan di awal malam, di
pertengahan malam dan di akhir malam selama sembahyang itu dilakukan
selepas sembahyang Isya’. Menurut al-Hafiz Rasulullah s.a.w. tidak
sembahyang malam di satu waktu tertentu, malah ia sembahyang mengikut
kesempatan dan keselesaan yang didapatinya tetapi waktu sembahyang yang
paling afdhal ialah ditengah malam iaitu masa sepertiga malam yang akhir.
Bilangan rakaat sembahyang malam tidak juga ditentukan, ia boleh
terlaksanakan dengan satu rakaat sembahyang yang didirikan selepas
sembahyang Isya’. Dalam sebuah Hadis Rasulullah s.a.w. bersabda :
“Hendaklah kamu dirikan sembahyang malam walaupun satu rakaat.”Tetapi yang paling afdhal ialah sebelas rakaat atau tiga belas rakaat
seperti kebiasaan yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu dengan satu
rakaat atau tiga rakaat witir di akhirnya.
Walaupun demikian, seseorang itu tidaklah disuruh mengerjakan sembahyang
malam dengan memaksa-maksakan dirinya secara keterlaluan, kerana ibadat
yang sempurna pastilah dilakukan dengan selesa dan ikhlas, apabila ia
terlalu mengantuk ia boleh tidur dulu untuk beberapa waktu, kemudian
barulah bangkit sembahyang. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :
” Apabila seseorang dari kamu sembahyang malam, kemudian bacaan al-Qur’an menjadi asing bagi lidahnya kerana mengantuk hingga ia tidak tahu apa yang dibacakannya, maka hendaklah ia tidur dulu.”Dalam satu Hadis lagi Rasulullah s.a.w. bersabda :” Buatlah amalan-amalan itu sekadar kuasamu kerana ALLAH itu tidak jemu
hingga kamu jemu.”
Amalan yang sedikit tetapi tekun adalah lebih baik dari amalan yang banyak
tetapi jarang-jarang.
Kerana itu persoalan menentukan waktu sembahyang malam dan menentukan banyak mana rakaatnya terserahlah kepada pertimbangan sendiri berdasarkan keikhlasan dan rasa ‘ubudiah’ yang murni.Di antara peraturan-peraturan yang disunatkan dalam sembahyang malam ialah :(1) Apabila ia hendak tidur, ia disunatkan untuk bangkit sembahyang malam
supaya keazamannya dapat membangkitkannya di waktu yang tepat.
(2) Sesudah mencuci muka, mengambil wudhuk dan bersugi dia disunatkan
membaca doa-doa khas sembahyang malam.
(3) Ia disunatkan memulakan sembahyang malam itu dengan dua rakaat yang
pendek dan ringkas, selepas itu boleh ia menyambung sembahyang itu seberapa ia suka.
(4) Menggerakkan isterinya agar ia turut serta bersembahyang malam, dan
bagi isteri disunatkan menggerakkan suaminya.
Hadis bab ini telah menyebutkan bahawa orang-orang yang banyak mendirikan sembahyang malam akan ditempatkan sejajar dengan golongan ” ” iaitu golongan yang amat disanjungi ALLAH, iaitu golongan orang – orang yang tidak sunyi mengingati dan menyebut ALLAH sama ada dengan hati, dengan lidah atau dengan kedua-duanya sekali sama ada dalam bentuk berzikir, membaca al-Qu’ran, memikirkan masalah-masalah ilmu yang ada hubungan dengan ketuhanan atau masalah-masalah pengetahuan yang diredhai ALLAH, kerana mempelajari ilmu itu ialah mempelajari undang-undang ALLAH yang berlaku dalam alam ini.